Jumaat, Disember 25, 2009


Perkampungan Pengarang Sarawak (PPS)

          PPS yang berlangsung di Hotel Telang Usan, Miri pada 5 hingga 6 Disember 2009 yang lalu, adalah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) dengan kerjasama Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA).
          Bertemakan “Memanifestasikan Kesatuan Dalam Kepelbagaian Lewat Persuratan Kebangsaan”, menghimpunkan karyawan daripada beberapa persatuan penulis di Bumi Kenyalang seperti PUTERA, Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA), Angkatan Pengkarya Indie (API) dan Warismu. Beberapa orang
rakan penulis/pe
ngarang dari negeri Di Bawah Bayu, Sabah dan Semenanjung Malaysia turut sama berkampung pada hari tersebut . Sebanyak 9 kertas kerja telah dibentangkan selama perkampungan itu berlangsung termasuk ucap utama daripada penerima Anugerah Sastera Negeri Sarawak ke-3 baru-baru ini,Yang Berbahagia Datu Dr. Adi Badiozaman Tuah.
          Objektif PPS yang dahulunya dikenali sebagai Perkampungan Penulis Sarawak acap kali diadakan adalah bertujuan untuk membina dan membangunkan karyawan sastera di Bumi Kenyalang ini melalui kegiatan keilmuan, pemasyarakatan, penataran sastera dan kegiatan wacana ilmu.
Selain itu, tujuannya adalah untuk memasyarakatkan serta menyebarluaskan sastera kebangsaan melalui pembentangan kertas-kertas kerja dan pembicaraan karya para pengarang pelbagai kaum di Sarawak serta meninjau sejauh mana perkembangan sastera kebangsaan di Sarawak dan kedudukannya dalam arus perdana perkembangan sastera pada peringkat nasional.
          Datu Dr. Adi Badiozaman Tuah, dalam ucap utamanya yang bertajuk “Masa depan Kesusasteraan Kebangsaan di Sarawak” membicarakan tentang pendekatan Sarawak pada tahun 2015 - 2030, cabaran dan juga bagaimana cara menangani setiap cabaran yang bakal mendatang kepada kesusasteraan di Sarawak.
          Menurut beliau, kesusasteraan kebangsaan ada masa depan yang cerah sekiranya penulis, badan penulis, agensi berwajib dan pelbagai media penyiaran dan penerbitan berkemampuan memainkan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dan komitmen yang tinggi untuk merealisasikan agenda pembangunan dan pembentukan negara bangsa serta memenuhi kehendak khalayak pembaca.
Berpandu kepada misi dan visi beliau, cabaran utama dunia kepenulisan di Sarawak adalah untuk melahirkan penulis yang berketerampilan dan berwibawa; yang dapat menghasilkan karya yang bermutu tinggi & mampu menarik minat pembaca serta membina khalayak pembaca dan pengkritik sastera.
Beliau menyarankan agar penulis meningkatkan ilmu dan kemahiran, mempelbagaikan bentuk, persoalan dan media pengucapan; menambah bilangan karya yang bermutu dan berkeupayaan mencabar daya fikir serta imaginasi pembaca dan meningkatkan usaha mempromosi dan pemasaran karya sastera. Itulah cabaran yang harus ditangani oleh seseorang penulis jika hendak berjaya dalam bidang yang diceburinya.
          Drs. Mohamad Daud Mohamad dari Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Jabatan Sastera, DBP Kuala Lumpur membicarakan tentang “Perspektif Bangsa Dalam Landskap Sastera” dalam kertas kerja beliau.
          Menurut beliau, manifestasi bangsa dalam teks sastera sudah menjadi sesuatu yang lumrah. Manakala dari aspek catatan sejarah fenomena bangsa tersebut sudah berlangsung semenjak zaman berzaman lagi. Persoalan bangsa bukan menjadi persoalan yang abstrak dalam sesebuah teks sastera, malah sudah dikonkritkan oleh para penulis bagi membuka mata dunia bahawa cubit peha kiri, peha kanan terasa jua. Dengan itu, terbukti bahawa wilayah teks sastera sangat luas merangkumi luaran dan dalaman kehidupan manusia dan alam.
          Menurut beliau lagi, seseorang penulis/pengarang adalah insan cerdik. Keintelektualan insan bergelar pengarang adalah melalui tulisannya, tidak kira dalam genre apa sekalipun, dapat mempengaruhi kehidupan khalayak pembaca dengan teks sastera yang dihasilkan.
Membicarakan tentang bangsawan pada tahun 1980-an di Sarawak, Dr. Nur Afifah Vanitha Abdullah dari Program Drama dan Teater, Jabatan Seni Persembahan dan Teknologi Produksi, Fakulti Seni dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menyatakan, faktor persekitaran amat mempengaruhi kelahiran teks dan perubahan kaedah lakonan bangsawan seperti yang beliau garap dalam kertas kerjanya bertajuk “Pengaruh Kontekstual Terhadap Kelahiran Teks dan Kaedah Lakonan Bangsawan Tahun 1980-an di Sarawak”. Elemen lakonan bangsawan di Sarawak ketika itu tidak dapat lari dari mengalami perubahan selaras dengan kemajuan dan kehendak semasa.
          “Penerapan Unsur-unsur Budaya Tempatan dalam Karya Sastera” oleh Dr. Azelina Zainal dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Haji Santrol Abdullah dari DBP merupakan kertas kerja yang ketiga dibentangkan. Kertas kerja ini membicarakan perihal bumi Sarawak yang didiami oleh 37 etnik peribumi dengan hampir 60 bahasa utama dan menuturkan 200 buah dialek yang berbeza. Kekayaan dan kepelbagaian etnik yang ada di Sarawak adalah satu aset yang amat bernilai kepada para karyawan dan penyelidik budaya dan bahasa dalam menghasilkan karya mereka.
          “Bumi Kenyalang tidak akan mempunyai pengarang yang berpontensi yang boleh dibanggakan dalam jangka masa lima tahun akan datang berbanding negeri Di Bawah Bayu, Sabah”. Itulah pandangan berani dan mencabar oleh Prof. Dr. Sahlan Mohd Saman dari Universiti Brunei Darussalam
Beliau yang membentang kertas kerja berjudul “Memperkasa Keberhasilan Karya Sastera: Pengalaman Meneliti Karya Penulis Sarawak” telah menyatakan bahawa pengarang Sarawak tidak memiliki ketahanan keterampilan menulis. Majoriti yang tampil sejak dekad 1980-an hingga kini telah menghilang entah ke mana. DBPCS dengan kepimpinan kini harus melipatgandakan usaha membangunkan dunia penulisan negeri ini dengan kerjasama persatuan penulis dan institusi lain yang relevan dan berminat. Penstrukturan aktiviti pembimbingan, penyelidikan, penerbitan dan penganugerahan (termasuk peraduan) mesti dilaksanakan secara agresif. Jika tidak, dunia penulisan di Sarawak akan terus tertinggal daripada arus perdana.
          Dr. Jeniri Amir dari Fakulti Sains Sosial, UNIMAS, yang juga salah seorang penulis/pengarang dan usahawan yang berjaya di Sarawak mengetengahkan “Strategi Pemasaran Karya Sastera”. Menurut Jeniri, seseorang pengarang harus berubah sikap jika hendak berjaya sebagai pengarang dengan menganggap semua aspek kepengarangan adalah sama penting termasuk pemasaran.
1Malaysia, slogan yang sering dilaungkan oleh media masa diangkat menjadi judul kertas kerja Dr. Awang Azman Awang Pawi dari UNIMAS yang bertajuk “Satu Malaysia Perspektif Sastera Nasional: Realiti dan Cabaran”.
          Beliau merumuskan bahawa konsep 1malaysia merupakan suatu gagasan yang bermanfaat untuk rakyat di negara ini. Banyak pengisian yang perlu diatur dalam konteks merealisasikan secara teratur. Pengisian dan tindakan ini melibatkan beberapa golongan seperti pengarang, institusi awam dan swasta serta keazaman politik melalui kuasa, dasar untuk dilaksanakan. Semua pihak ini perlu bekerjasama antara satu sama lain untuk memartabatkan sastera nasional kerana langkah ini dapat membantu meningkatkan persefahaman antara kaum di negara ini.
          Kertas kerja seterusnya berjudul “Menulis Sastera Popular: Pengalaman dan Prospek” dibentang oleh Saudara Dahiri Saini. Beliau menyarankan kepada penulis yang baru berjinak-jinak hendak menulis karya popular agar terus menulis dan menghasilkan karya yang bermutu.
          “Tidak ada jalan mudah untuk memulakan sesuatu kerja. Setiap pengarang yang ingin berjaya, hendaklah bersungguh-sungguh dalam bidang yang diceburi” tegas Dahiri.
Kertas kerja yang terakhir pada hari penutup perkampungan dibentangkan berjudul “Membangun Generasi Penulis Baru: Perancangan dan Perlaksanaan” oleh Ketua II PUTERA, Saudara Poul Nanggang.
Dalam kertas kerjanya, Poul membicarakan perihal dunia kepengarangan yang penuh cabaran dan bukan sesuatu bidang yang mudah. Kekurangan dana dan tenaga kerja sering menjadi kekangan untuk mengembangkan pembinaan penulis muda di Bumi Kenyalang ini.
          Beliau juga menyatakan bahawa membangun dan menyemarakkan suasana berkarya di Sarawak haruslah dipupuk dan dibajai sejak awal lagi bagi meneruskan tradisi mencintai dan mengangkat khazanah sastera kita. “Ianya satu tugas dan tanggungjawab yang berat dan besar yang memerlukan kerjasama semua pihak yang terlibat,” tegas Poul.
          Saudara Abang Patdeli Abang Muhi selaku Pengarah Perkampungan Sarawak 2009 dalam rumusannya menyatakan bahawa perkataan perkampungan sudah tidak relevan digunakan lagi pada masa kini memandangkan acara sebegini sering diadakan di hotel-hotel yang banyak kemudahannya. Dari itu beliau mencadangkan perkataan perhimpunan digunakan sebagai gantinya.
          Sahutlah cabaran untuk menghasilkan pengarang yang boleh rakyat Sarawak banggakan dalam jangka masa 5 tahun mendatang. Berkaryalah untuk bangsa dan generasi akan datang. Hanya karyalah tinggalan untuk ditatap dan dipelajari oleh mereka nanti. Semoga dunia kepengarangan di Bumi Kenyalang yang tercinta ini akan terus maju ke hadapan, setanding dengan negeri jiran, Sabah dan Semenanjung Malaysia dalam masa terdekat ini.


Petikan daripada YIIB, Utusan Borneo @ 21 Dis 09.

Isnin, Januari 26, 2009

PUTERA: 3 DEKAD MENUJU DEWASA


Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) diputerakan pada tanggal keramat 7 Jun 1979 di Miri, Sarawak. Ia lahir daripada gelojak kesedaran dan keazaman para karyawan dan peminat sastera tempatan tentang perlunya wujud sebuah badan penulis yang bakal menjadi pusat bagi penggemblengan tenaga dan minda dalam merancang dan melaksanakan aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan di wilayah utara Bumi Kenyalang. Pengasas utama dan orang yang paling penting dalam mengilhamkan kelahiran PUTERA ini ialah Jeli Bohari Biha, mantan ketua I PUTERA. Daripada pengalaman berharga ketika bersama Persatuan Bahasa dan Sastera Sarawak (PEBAS) di Kuching, beliau pun mula menghimpunkan beberapa orang penulis dan peminat sastera setempat untuk duduk semeja dalam usaha untuk menubuhkan sebuah persatuan penulis. Akhirnya mesyuarat penubuhannya berlangsung pada 7 Julai 1979 di Kelab Shell, Lutong. PUTERA didaftarkan secara rasmi pada 4 April 1980. Ketua I yang pertama ialah Abu Bakar Matasan dan Setiausaha I pula disandang oleh Jeli Bohari Biha sendiri.